Apa Hala Tuju Perbukuan Kita?

Selepas Kuala Lumpur Ibu Kota Dunia 2020, apa perjalanan dunia buku kita?

Pada 23 April nanti, Kuala Lumpur akan menyerahkan ‘baton’ gelaran Ibu Kota Dunia kepada Tbilisi, Georgia yang akan menjadi Ibu Kota Dunia tahun 2021.

Kuala Lumpur sebagai ibu kota buku dunia 2020 telah mengharungi cabaran unik kerana menjadi ibu kota buku dunia ketika seluruh dunia menghadapi pandemik Covid-19.

Kesan pandemik ini telah menyebabkan banyak acara fizikal perbukuan yang dirancang sepanjang tahun 2020 terpaksa dibatal dan ditangguhkan. Ia boleh difahami dan diterima oleh segenap pihak, termasuk penggiat perbukuan seperti saya.

Mujurlah, pada minggu akhir 9-11 April yang lepas, satu program dinamakan Festival Semarak KLWBC 2020 berjaya diadakan bagi melepaskan kerinduan penggiat dan pembaca kembali meniup roh ke dalam jasad perbukuan negara.

Saya turut terlibat dalam acara-acara minggu akhir tersebut dengan mengadakan pesta buku fizikal bersaiz sederhana yang dinamakan Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2021. Ia merupakan edisi ke-12 setelah tidak dapat diadakan pada tahun 2020 kerana berdepan dengan pandemik Covid-19. Acara telah diadakan dengan meriah dan selamat.

Baiklah, kembali kepada persoalan utama kita.

Selepas KLWBC2020, apa hala tuju perbukuan kita?

Apa yang saya boleh kongsikan hanyalah khabar dalam dunia perbukuan.

Pertama, dikhabarkan pada akhir tahun 2021 ini akan diadakan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2021 secara fizikal. Ini merupakan rentetan daripada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2020 yang terpaksa ditangguhkan kerana pandemik yang memukul negara kita pada tahun lepas.

Recap, setelah pesta buku fizikal ini tidak dapat diadakan, pihak penganjur iaitu Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) telah memulangkan 50% wang deposit para pempamer pada tahun lepas. Inisiatif alternatif lain ialah pihak penganjur telah mengadakan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2020 dan 2021 secara online, dengan kerjasama platform beli-belah digital Shopee.

Walau bagaimanapun, khabarnya walaupun para pempamer telah menerima 50% wang deposit, masih ramai para pempamer mahukan pihak penganjur memulangkan 100% wang deposit mereka kerana keadaan yang tidak menentu dan teruk ketika pandemik yang merencatkan ekonomi, wang deposit tersebut dapat meringankan beban mereka. Khabar lain yang kita terima berkenaan hal ini juga, walaupun 50% wang deposit telah dipulangkan pada tahun lepas, terdapat pempaper yang terpaksa menutup operasi kerana tidak dapat bertahan lagi.

Para penggiat perbukuan berharap pihak penganjur dapat memberikan kenyataan rasmi mengenai perancangan seterusnya dalam hal PBAKL2021 kelak. Antara cadangan menarik yang boleh dilaksanakan ialah, jika PBAKL2021 diadakan di Putra World Trade Center kelak, acara itu tidak diadakan selama 10 hari seperti kebiasaan, tetapi diadakan selama 5 atau 7 hari sahaja. Ini bagi mengurangkan risiko jangkitan penyakit, mengurangkan kos pempamer (masa, tenaga kerja), dan yang paling penting, para pempamer yang telah menerima pulangan 50% wang deposit, tidak perlu lagi membayar apa-apa deposit.

Cadangan menarik lain yang boleh dilaksanakan untuk PBAKL2021 ialah, walaupun acara dipendekkan dari 10 hari kepada 5 hari misalnya, pihak pengajur boleh mengadakan acara PBAKL2021 secara ‘hybrid’ atau gabungan antara pesta buku fizikal dan pesta buku online. Jika pesta buku fizikal diadakan 5 hari, pesta buku online diadakan serentak selama 14 hari misalnya sepanjang PBAKL2021 berlangsung. Ini sedikit sebanyak memberi peluang kepada pembaca yang tidak dapat merentas negeri membeli buku yang diinginkan secara online ketika PBAKL2021 berlangsung.

Kedua, dikhabarkan terdapat sebilangan penerbit buku yang telah memohon Geran Pemulihan Industri Kreatif pada tahun lepas. Inisiatif yang diadakan oleh syarikat berkaitan kerajaan iaitu MyCreative ini telah dibuka penyertaannya pada tahun lepas sekitar Julai 2020. Geran ini diwujudkan bagi membantu penggiat perbukuan dan kreatif yang terkesan sepanjang pandemik berlaku. Ia satu langkah yang baik buat penggiat perbukuan agar dapat berlapang dada memikirkan ketidaktentuan kewangan dan ekonomi.

Para penggiat perbukuan berharap proses pemberian geran dapat disegerakan agar para penerbit yang terkesan dapat bangkit semula dan memangkinkan pengeluaran buku-buku baharu akan datang.
Itu sahaja khabar yang saya boleh kongsi. Lama juga tak cerita tentang dunia buku kerana sejak akhir-akhir ini isu berkaitan kerajaan dan istana memenuhi perbualan di media sosial.

Oh ya bagi Patriots Publishing pula, minggu ini kami akan menyertai Korean Bookfair 2021 yang diadakan secara virtual. Patriots Publishing akan mengadakan pertemuan secara maya dengan tiga penerbit dari Korea Selatan iaitu Gozknock Ent, Dasan Books dan Sigongsa, yang merupakan antara penerbit terbesar di Korea Selatan. Sigongsa pada tahun 2005, telah merekodkan jualan sebanyak USD60 juta setahun.

Semoga dunia perbukuan kita terus maju jaya!

~Syazrul Aqram~