Setiap penerbit mempunyai falsafah penerbitan masing-masing. Biasanya falsafah penerbitan bermula dengan manifesto. Dari manifesto, barulah terbentuk falsafah penerbitan.

Falsafah penerbitan lebih kurang sama dengan misi dan visi, tetapi misi dan visi adalah lebih kepada matlamat, manakala falsafah penerbitan adalah jatidiri sesebuah rumah penerbitan.

Ada rumah penerbitan yang mempunyai falsafah seperti;

“We are here because we love money.”

Ada rumah penerbitan yang mempunyai falsafah seperti;

“Kami bikin buku dengan harga yang murah, lebih murah dari sekotak rokok.”

Patriots Publishing punya falsafah penerbitan pula so simple;

“Kami di sini kerana ‘alif ba ta’; agama, bangsa dan tanah air.”

Kami bikin buku geopolitik kerana hal antaraBANGSA.

Kami bikin buku sejarah kerana bangsa dan tanah air.

Kami bikin buku agama kerana yeah, obviously.

Dan kami bikin buku falsafah kerana setiap agama, bangsa dan tanah air ada falsafah masing-masing.

Falsafah penerbitan adalah penting. Ia akan membentuk organisasi, matlamat konten, budaya kerja, reka bentuk dan termasuk aliran wang tunai!

Sesebuah penerbitan yang tidak ada atau tidak jelas falsafah penerbitannya akan mengalami krisis operasi pada masa hadapan. Saya katakan sebegini kerana rumah penerbitan saya dulu juga mempunyai masalah falsafah penerbitan yang tidak jelas.

Ye lah, falsafahnya nak buat buku untuk orang muda tetapi sang penerbit makin tahun umurnya sudah tidak muda. Aherherher. Now belajar dari kesilapan.

Sebab itu kebanyakan penerbit gergasi dunia, apabila mereka mahu menerbitkan buku kanak-kanak, mereka pisahkan seksyen atau divisyen induk dengan divisyen kanak-kanak.

Mereka melantik orang dewasa yang memahami kanak-kanak menjadi penerbit buku kanak-kanak, sebagai wakil kepada divisyen induk.

Misalnya saya, tidak mungkin saya orang yang tepat untuk menerbitkan buku kanak-kanak kerana forte saya adalah bukan fiksyen. Fiksyen bolehlah sedang-sedang.

Lalu saya perlu mencari orang lain, yang memahami kanak-kanak, melantik orang itu menjadi Eksekutif bagi menerbitkan buku kanak-kanak.

Dan buku kanak-kanak itu mestilah sepadan dengan falsafah penerbitan kerana andai buku kanak-kanak diterbitkan dengan falsafah berbeza seperti mencari untung semata (making money misalnya), maka lama kelamaan ia akan memakan diri rumah penerbitan itu sendiri. Percayalah, ia banyak kali berlaku di Malaysia bahkan seluruh dunia.

Fun fact. Saya banyak kali jumpa dengan rumah penerbitan yang falsafah (mungkin motif?) penerbitannya adalah kerana nak menjatuhkan rumah penerbitan orang lain.

Macam-macam ragam.