Karya Anda Logik Atau Tidak?

“Apa ni buat macam ni sekian-sekian. Tak logiklah.”

Ini biasanya kau akan terima kalau pengkritik lontar kritikan pada genre novel yang kau tulis. Biasanya jadi pada genre yang bermain dengan imiganasi tinggi.

Apakah kau boleh menjawab sebegini?

“Dah nama pun cerita, mestilah tak logik.”

Kritikan di atas boleh jadi betul, dan tidak. Jawapan anda juga boleh jadi betul dan tidak. Kenapa aku cakap macam ni? Pertama, kita kena tahu indikasi logik dalam setiap genre berbeza.

Genre slice of life ialah genre yang paling harus menepati realiti. Ini genre yang bermain dengan persoalan-persoalan biasa manusia. Kisah seorang doktor di sebuah hospital. Kerjaya seorang bomba. Kisah seorang penulis novel.

Cerita seperti ini bermain dengan unsur realistik. Jadi, bila ada unsur-unsur tidak logik yang bertentangan dengan kerjaya, dah tentu orang akan marah.

Apa ni jadi doktor, tapi jenis rawatan pada pesakit dia salah? Atau kenapa doktor banyak masa bercinta bagai ni? Doktor-doktor yang aku kenal kadang nak makan pun takde masa, tapi kenapa dalam cerita doktor Melayu, doktor boleh lagi dating dalam hospital lagi?Jadi, indikator logik untuk cerita bergenre seperti ini sangat-sangat tinggi! Rosak sikit jer, anda akan merosakkan seluruh jalan cerita.

Unsur logik juga boleh bermain bukan seputar karier sahaja. Contohnya unsur masa. Latar masa harus tepat, kelak akan nampak tak logik. Contohnya kau tulis cerita pasal kejadian yang berlaku pada tahun 80-an. Tapi tiba-tiba anak muda pada zaman tu dengar lagu K-Clique atau bawak kereta Proton Saga 2.0? Tak logik kan?

Tapi unsur logik juga berbeza ikut genre. Misalnya, dalam genre superhero, seorang lelaki kena tembak dengan beribu-ribu peluru AK-47 tapi masih tak mati ialah logik kerana kita dah beritahu kepada pembaca kita bahawa dunia dalam novel kita ialah sebuah genre fantasi, di mana ada lelaki-lelaki terpilih yang ada kuasa luar biasa.

Tapi babak yang sama akan jadi tidak logik dalam genre Thriller Jenayah yang melibatkan seorang penjenayah menembak seorang lelaki polis walau hanya dengan sebutir peluru Heckler & Koch P7 menuju ke dada atau kepalanya. Aik? Kenapa dalam genre superhero indikator logiknya diterima, tetapi dalam genre thriller tidak?

Kerana sifat genre itu sendiri. Genre superhero ialah subgenre genre fantasi. Dalam dunia fantasi, peraturan logiknya berbeza. Atas nama fantasi, andai diberi sebab-sebab yang rasional dan kukuh, maka dibenarkan untuk unsur yang dikira tidak logik dalam genre lain diterima pakai.

Kalau tidak, bagaimana nak cipta unsur-unsur seperti dunia magic? Watak seperti Harry Potter, Gandalf dan Peter Jackson tidak akan pernah wujud kalau unsur realistik pada genre lain nak dipakai pada genre fantasi. Mencabut unsur imaginasi yang mengatasi realistik dalam dunia sebenar akan membunuh karya-karya fantasi yang hebat yang wujud dalam sejarah.

Tapi genre Thriller Jenayah pula bukanlah sebuah genre berasaskan dunia fantasi. Ia adalah dunia sebenar, dan kisahnya adalah yang berlaku disekeliling kita. Logik akal kita memberitahu bahawa seorang polis tidak mungkin tidak cedera kalau ditembak oleh pistol. Jadi, peraturan sebegini harus dijaga dengan baik oleh penulis.

Dan atas sebab yang sama, kenapa cerita Tamil selalu dicemuh kerana tidak menepati logik pada hukum fizik. Ini juga menjelaskan kenapa orang tidak ketawa melihat Hulk mampu mengangkat kereta dengan satu tangan, tapi akan ketawa kalau melihat perkara sama berlaku pada genre aksi biasa tanpa unsur superhero.

Novel pertama aku pernah dikritik kerana menyalahi unsur logik akal. Novel pertama aku ialah bergenre aksi. Babak melibatkan hero melawan penembak tepat di dalam sebuah hutan.

Aku pilih sebuah peluru telah ditembak dari jauh lalu terbenam di kaki hero. Ikut logik akal di dunia sebenar, peluru yang aku pilih untuk ditembak itu akan menghancurkan kaki hero, tapi aku buat hero mampu boleh berjalan. Jadi, aku dah salah kerana melawan logik.

Dan ini juga menjelaskan kepada kita kenapa juga perbuatan membandingkan unsur logik dalam Avengers dan filem aksi Tamil adalah tidak sepadan kerana ianya adalah perbandingan dua genre berbeza dengan dua hukum logik berbeza!

Kalau kau tulis cerita Sai-Fai, hukum logik dia jugak berbeza. Walaupun ianya adalah kembar tidak seiras kepada genre Fantasi, tetapi hukum sains harus dipatuhi. Contohnya mencipta sebuah dunia sai-fai yang meletakkan haiwan-haiwan dari zaman pra-sejarah. Kita ambil contoh dinosor.

Mencipta dunia ini, anda harus memastikan haiwan hervivor dan karnivor seimbang. Dinosor hervivor harus lebih banyak daripada dinosor karnivor, atau nanti dunia anda tidak seharusnya wujud kerana menyalahi unsur ekosistem alam.

Ya, dinosor kita wujudkan menggunakan elemen teknologi lebih maju. Tapi ada sesuatu yang betapa majunya teknologi, ia akan kekal sama. Rantaian makanan yang wujud disekitar kita. Haiwan hervivor harus berganda-ganda lebih banyak dari haiwan karnivor. Bila aku cipta dunia yang menyalahi rantaian makanan, makanya aku salah besar kerana menyalahi logik.

Oh ya, kalau ceritanya Seram Fantasi, Thriller Fantasi, Urban Fantasi dan apa-apa genre yang disandingkan pada genre fantasi, maka peraturan logik yang wujud dalam genre fantasi diterima dalam genre tersebut juga kerana nama fantasi itu memberi lesen besar kreatif yang lebih berbanding genre lain.