Masalah Pembayaran Royalti Penulis

Setiap tahun, seperti jerebu, masalah pembayaran royalti akan menjadi perbualan setiap musim.

Kalau bukan penerbit buku itu, penerbit buku ini. Takpun penerbit buku sana dan penerbit buku sini.

Padahal, kalau setiap kali saya menghadiri mesyuarat tahunan Persatuan Penerbit Buku Malaysia, isu pembayaran royalti penulis buku seingat saya tidak pernah dibangkitkan. Ya, tak pernah lagi sejak 2013 saya menjadi ahli.
Kalau isu cetak rompak itu ya, setiap tahun dibangkitkan.

Mungkin isu royalti penulis dibangkitkan di persatuan penulis. Saya tidak tahu kerana saya bukan ahli di persatuan penulis.

Apa yang perlu kita tahu, masalah royalti penulis berlaku di mana-mana penerbitan tidak kira kecil mahupun besar. Tidak kira swasta mahupun separa kerajaan.

Masalah royalti selalunya berkisar tentang masalah tidak mendapat bayaran royalti, lambat mendapat bayaran royalti, bayaran royalti tidak cukup dan paling jarang kita dengar tetapi pernah berlaku ialah salah faham peratusan royalti.
Kami di The Patriots pernah menghadapi masalah serupa, tetapi bukan masalah royalti, ia adalah masalah bayaran token untuk penulis di laman-laman kami.

Seperti mana kata pujangga;

“Ada 3.5 billion wanita di dunia, maka ada 3.5 billion cara untuk lelaki memikat perempuan”

Bermakna jika kami ada hampir 200 penulis yang menyumbangkan artikel, maka ada 200 potensi masalah akan kami temui.

Setiap manusia mempunyai ragam berbeza dan cara pemikiran serta penerimaan yang unik.

Salah satu potensi masalah ialah masalah pembayaran token. Mujur masalah ini telah diselesaikan. Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada para penulis yang memahami bahawa cabaran pembayaran token masa kini adalah bergantung kepada sebanyak mana kami boleh raih pendapatan melalui pengiklanan dan sistem kecerdasan buatan yang kompleks.

Ya, sungguh kompleks. Jika bulan lepas kami meraih lima ribu ringgit hasil daripada pengiklanan dan sistem kecerdasan buatan, bulan ini tidak semestinya kami meraih jumlah yang sama. Malah pernah kami tidak mendapat bayaran kerana laman-laman kami disekat oleh sistem kecerdasan buatan.

Mentor perniagaan saya sering mengingatkan saya;
“Aqram, account is a vital part of company.”
“Aqram, untuk elak masalah pembayaran, melaburlah ke peningkatan sistem akaun.”

Pada saya, masalah royalti atau token atau kita kelompok kan sebagai bayaran. Ia berpunca kepada dua perkara asas yang tidak dijaga dengan baik; Akaun dan Polisi Kewangan.

Dan kedua-dua ini pula memerlukan satu perkara penting; Kejujuran.

Kalau boleh bayar, bayar.
Kalau tak mampu bayar, beritahu tak mampu nak bayar.
Kalau ada solusi pembayaran, beritahu solusi pembayaran.
Kalau tidak bertanya, mulakan bertanya.

Jika tidak, kita semua akan tersesat jalan dan masalah royalti akan terus menjadi dendangan setiap musim.

Pada tahun mencabar ini yang dihujani pandemik, kami telah memberitahu para penulis buku bahawa kami tidak mampu untuk membayar royalti secara serentak/pukal pada Disember 2020 seperti dalam perjanjian. Kami beritahu para penulis bahawa kami akan guna polisi pembayaran secara berperingkat sehingga akhir 2020.

Semua penulis setuju, syukur Ya Rabb.
Sekadar perkongsian.