Semalam banyak juga isu perbukuan diulas. Hari ini kita sambung lagi.

Antara tujuan utama buku diterbitkan ialah nak buat lebih ramai orang membaca buku.

Persoalannya, kalau lebih banyak sesebuah buku itu dibeli bermakna lebih ramai orang membaca buku?

Tidak semestinya. Masih ramai pembaca yang mempunyai tabiat beli buku tapi tak baca.

Baiklah. Buku tidak mempunyai tarikh luput. Itu pertama.

Maka jika sesebuah buku itu berulang-kali dipinjam bertukar-tangan, atau berulang-kali dijual beli sebagai buku terpakai, bermakna sasaran untuk lebih ramai orang membaca buku kita boleh kata tercapai.

Peluang membaca ini boleh datang dari pelbagai saluran. Bukan dengan membeli sahaja.

Baru-baru ini di Korea Selatan, satu desakan terhadap pihak kerajaan dan masyarakat bagi membantu serta menyokong Perpustakaan Awam telah dijalankan.

Hasilnya, perpustakaan menerima dana pembelian (khabarnya sebelum ini mahu dipotong) untuk membeli buku daripada para penerbit. Hasil desakan juga memberi impak yang bagus kepada kesedaran orang awam untuk datang ke perpustakaan. Pihak perpustakaan mengatakan sejak gerakan desakan tersebut, bilangan pengunjung datang ke perpustakaan bertambah walaupun dihimpit kebimbangan pandemik.

Ketika era 1Malaysia, dana perpustakaan yang tidak digunakan telah ditukar kepada baucar buku. Ia memberi impak positif kepada dunia perbukuan pada permulaan dan juga impak negatif apabila baucar buku ditukar menjadi kad siswa dan e-wallet.

Formula baucar buku pada pandangan saya sudah tidak sesuai. Mungkin kita perlu kembali kepada cara tradisional iaitu menyokong Perpustakaan Awam.

Masalah kebanyakan penerbit hari ini yang saya lihat ialah sikap para penerbit atau pengedar terhadap Perpustakaan Awam.

Perpustakaan Awam dianggap sebagai ‘cash cow’.

Saya fikir adalah perlu suatu kerjasama rapat antara Perpustakaan dan Penerbit diadakan.

Contohnya, mana-mana Penerbit yang bukunya telah dibeli oleh Perpustakaan, wajib untuk mengadakan aktiviti perbukuan awam di Perpustakaan. Sama ada secara bersendirian atau pakatan.

Aktiviti ini boleh diisi seperti memberi keahlian automatik Perpustakaan kepada pembaca. Aktiviti forum, seminar, mungkin jual beli terbuka, kebudayaan, atau paling kecil, mempromosi Perpustakaan desa.

Melestarikan perpustakaan adalah tanggungjawab semua penggiat perbukuan.

Tak nak lah dah dapat duit perpustakaan beli, lepas tu sembang ramai orang malas membaca.

Pustakawan, sila catat cadangan ini.