Penggabungan dan Pengambilalihan Syarikat Penerbitan

Pada Mac 2020 lepas, ViacomCBS bercadang untuk menjual syarikat penerbitan buku yang dimiliki mereka iaitu Simon & Schuster. Sebab mengapa hasrat penjualan ini kerana ViacomCBS melihat Simon & Schuster bukan sebagai ‘aset teras’.

Simon & Schuster merupakan ‘Big 5’ penerbitan buku di dunia selain Penguin Random House dan HarperCollins. Pada laporan kewangan suku pertama 2020, pendapatan Simon & Schuster menurun tiga peratus, dari 382 juta dollar Amerika kepada 370 juta dollar Amerika.

Hasrat ViacomCBS ini menarik minat News Corp untuk membeli Simon & Schuster. News Corp merupakan pemilik kepada HarperCollins.

Pengikut perkembangan arena perbukuan seluruh dunia melihat ia sebagai perkembangan menarik kerana jika News Corp membeli Simon & Schuster, kemungkinan akan digabungkan dengan HarperCollins. Lalu ia boleh memberi saingan sihat kepada Penguin Random House yang kini merupakan penerbit terbesar di dunia selepas penggabungan pada tahun 2013.

Namun perkembangan terbaru penjualan Simon & Schuster kini nampak lebih menarik kerana semalam, menurut laporan Financial Times, Penguin Random House juga turut menyatakan hasrat berminat untuk membeli Simon & Schuster.

Apakah impak kepada penggabungan ini di Malaysia?

Tiada.

Syarikat-syarikat penerbitan di Malaysia amat jarang bercakap tentang penggabungan. Kalau pengambilalihan itu ada, untuk dijadikan anak syarikat. Kami di Patriots Publishing juga sedang dalam proses akhir mengambilalih sebuah syarikat penerbitan. Pengambilalihan ini dilakukan kerana kami ingin mengembangkan pelbagai saluran bahan bacaan, pasaran dan keuntungan.

Cuma, saya sebagai peminat tegar penerbitan Simon & Schuster merasakan sudah tiba masanya Simon & Schuster untuk bergabung dengan mana-mana penerbitan Big 5 di dunia. Ia penting kerana pemilik kini sudah menganggap Simon & Schuster bukan lagi aset penting. Impak pandemik sebenarnya memberikan kesan mendalam terhadap pendapatan mana-mana penerbit di seluruh dunia termasuk Simon & Schuster.

Jika ada penggabungan syarikat buku yang saya ingin lihat di Malaysia ini pun ialah penggabungan antara Karangkraf dan PTS.

Kedengaran mustahil. Mungkin.