Oleh : Ayman Rashdan Wong

Sementara korang belek buku Dunia Tanpa Tembok III, aku nak rekomen buku “Lipur Lara Nusantara” oleh Ninot Aziz.

Lipur lara? Ada kaitan dengan “penglipur lara”?

Ada. Buku ini adalah himpunan cerita rakyat yang disampaikan oleh penglipur lara secara turun-temurun.

Cerita rakyat (folktale) adalah sastera lisan (oral literature) yang merangkumi mitos (myth), legenda (legends), dongeng (fairy tale) dan hikayat.

Mitos dan dongeng cerita pasal kejadian luar biasa (supernatural). Mitos pasal dewa-dewi, dongeng lebih kepada makhluk dan binatang seperti Sang Kancil.

Legenda cerita pasal kisah bersejarah seperti Mahsuri dan Ulik Mayang. Hikayat pula bercerita tentang legenda yang berkaitan dengan tokoh sejarah, seperti Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Merong Mahawangsa.

Semua cerita-cerita ni ada dalam buku Puan Ninot.

Cerita rakyat tidak diketahui penciptanya dan dianggap sebagai warisan milik bersama. Dulu ia disampaikan oleh tukang cerita yang dikenali sebagai penglipur lara. Penglipur lara ada banyak jenis: kalau Awang Batil bercerita sambil memukul batil, kalau Tarik Selampit memainkan rebab.

Tradisi penglipur lara ada dalam semua tamadun: macam Bard dalam tamadun Celt (peribumi Britain, nenek moyang orang Scotland, Wales dan Ireland), Troubadour di Sepanyol dan Itali, Skald di Eropah Utara, Jianggu (講古) dalam masyarakat Cina dan Pansori (판소리) di Korea.

Lipur bermaksud hibur, lara bermaksud perasaan duka atau sedih. Jadi tujuan utama cerita rakyat adalah untuk menghibur, tapi pada masa yang sama juga bertujuan untuk mendidik. Sistem nilai sesebuah bangsa selalunya digambarkan dalam cerita rakyatnya.

Macam cerita Mulan yang menjadi kebanggaan masyarakat Cina menonjolkan banyak nilai murni tamadun Cina seperti “filial piety” (berbakti kepada ibu bapa), kesetiaan kepada negara (melawan barbar) dan keberanian (tindakan Mulan menggantikan tempat ayahnya).

Dalam cerita rakyat Melayu pun ada ramai “Mulan” – Walinong Sari, Cik Siti Wan Kembang, Arduga, Siti Zubaidah. Mereka semua merupakan srikandi (female warriors) yang pandai bersilat gayung, melambung lembing dan berperang dengan negara besar. Sebelum nak acah-acah feminis marah pasal “patriarki”, cuba tengok macam mana cerita rakyat dulu memuliakan kaum wanita.

Malah, cerita rakyat boleh menjadi pemangkin nasionalisme dengan menghidupkan roh dan jiwa bangsa.

Antara faktor penubuhan negara bangsa Jerman adalah penerbitan Kinder und Hausmärchen (Children’s and Household Tales) oleh Jacob dan Wilhem Grimm pada tahun 1812 yang menghimpunkan cerita-cerita rakyat bangsa Jerman seperti “Cinderella” (“Aschenputtel”), “The Frog Prince” (“Der Froschkönig”), “Rapunzel”, “Sleeping Beauty” (“Dornröschen”) dan “Snow White” (“Schneewittchen”).

Cerita-cerita yang dipopularkan Disney ni asalnya adalah cerita rakyat orang Jerman. Tujuan Brothers Grimm menghimpunkan cerita-cerita ni adalah untuk lawan Perancis yang mendominasi bangsa Jerman pada awal abad ke-19.

Sebuah negara bernama Jerman tidak wujud sebelum tahun 1871, yang ada hanya negara-negara kecil yang didirikan oleh bangsa Jerman seperti Prussia, Westphalia, Saxony dan Hanover. Disebabkan tak wujud negara yang bersatu, kuasa asing seperti Perancis dan Austria dapat menguasai negara-negara ini, misalnya Westphalia (tanah tumpahnya darah Brothers Grimm) diperintah oleh Jérôme Bonaparte, adik Napoleon maharaja Perancis.

Cerita-cerita yang dihimpunkan oleh Grimm ni sebenarnya ada mesej tersirat: watak Princess yang innocent macam Snow White dan Cinderella adalah lambang rakyat yang suci, tidak dijaga ibu ayah (penguasa bangsa Jerman yang lemah), kena buli dengan watak jahat (kuasa asing) manakala Prince Charming yang menyelamatkan Princess adalah lambang pemerintah yang berwibawa. Cerita rakyat berjaya menanam semangat dan kepercayaan orang Jerman untuk memerdekakan diri daripada cengkaman kuasa asing.

Di Korea, Pansori memainkan peranan yang sama. Di zaman penjajahan Jepun (1910-1945), nasionalis mempopularkan cerita Chunhyangjeon yang merupakan cerita rakyat masyhur malah menjadikan ia filem Korea pertama pada tahun 1922. Tema melawan ketidakadilan dalam cerita tersebut dapat menyemarak nasionalisme orang Korea dengan mudah tanpa perlu jargon atau konsep.

Kalau korang masih tak familiar dengan warisan cerita rakyat sendiri, maka buku ini wajib dimiliki korang. Jangan sampai warisan kita dah habis kena klaim oleh jiran. Macam cerita “Ratu-Ratu Pattani” yang ada dalam buku ni pernah dijadikan sebagai filem Queen of Langkasuka (2008) oleh Thailand tapi ramai mesti tak pernah dengar kisahnya.

Sesebuah bangsa tak akan maju dengan sastera yang berbunyi “muka budak tapi barang bak betina”. Nak memiliki jiwa yang lebih tinggi, nak bina semula jati diri bangsa yang hilang, cerita rakyat adalah best starting point.

Beli di https://www.thepatriots.store/…/lipur-lara-nusantara-ninot…/. Diskaun 15% sehingga 16 Jun 2020.

Baca di Twitter: https://twitter.com/AymanRashdanW/status/1268862149360668672