25 September 2026
Wawancara bersama Pengarang
Q: Selepas selesai membaca Dunia Tanpa Tembok, kami fikir saudara amat arif dengan perkembangan dunia. Bagaimana saudara melakukannya?
Sesiapa saja pun boleh jadi arif atau mahir dalam sesuatu bidang, asalkan banyak berlatih dan terus berlatih.
Ada tiga peringkat yang perlu dilalui oleh seseorang untuk menguasai bidang ilmu hubungan antarabangsa (IR).
Peringkat pertama ialah membiasakan diri dengan istilah dan konsep teras IR seperti “alliance”, “balance of power”, “national interest”, “international norm” dan sebagainya. Ini boleh dilakukan dengan banyak membaca bahan bacaan tentang politik antarabangsa seperti majalah “Foreign Affairs” dan “Foreign Policy”.
Peringkat kedua ialah membina keupayaan membuat analisis. Kalau di peringkat pertama, seseorang telah memahami Korea Utara disifatkan sebagai “rogue state” menurut norma antarabangsa kerana tidak mematuhi peraturan Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), di peringkat ini seseorang perlu memahami MENGAPA Korea Utara berbuat demikian. Maka perlu membaca dan memahami buku dan artikel yang memberi penjelasan secara teoretikal. Seseorang perlu mempunyai kemahiran untuk mengaplikasikan teori ke atas isu-isu semasa politik antarabangsa.
Di peringkat ketiga, seseorang bukan sahaja mampu mengaplikasikan teori malah boleh mengkritik teori dan membina kerangka analisis sendiri. Untuk mencapai tahap ketiga ini, sekurang-kurangnya perlu khatam 200-500 buku ilmiah tentang IR. Dan seseorang juga perlu memiliki perspektif “inter-disciplinary” seperti ilmu dalam bidang sains sosial yang lain (sains politik, sosiologi, falsafah).
Q: Kami tertarik dengan pandangan saudara tentang perlu khatam 200-500 buku ilmiah tentang IR. Boleh beritahu serba ringkas 3 buku ilmiah IR kegemaran saudara?
From Wealth to Power: The Unusual Origins of America’s World Role oleh Fareed Zakaria, Cultural Realism: Strategic Culture and Grand Strategy in Chinese History oleh Alastair Iain Johnston dan Useful Adversaries: Grand Strategy, Domestic Mobilization, and Sino-American Conflict, 1947-1958 oleh Thomas Christensen.
Q: Mengapa topik geopolitik dan geoekonomi menjadi pilihan saudara?
Minat saya terhadap politik antarabangsa bermula dari usia kecil. Saya suka membaca peta dunia dan menghafal nama-nama negara dan kedudukan mereka atas peta. Selain itu, saya juga suka tonton drama dan filem sejarah terutamanya yang ada kaitan dengan peperangan, dan itu memudahkan saya membaca dan meneliti isu semasa politik antarabangsa kerana saya tidak menganggap isu-isu dunia seperti peperangan dan konflik itu membosankan.
Di Malaysia, pakar IR dan geopolitik adalah sangat sedikit berbanding negara-negara jiran kita (Singapura dan Indonesia). Jadi saya ingin merapatkan jurang ini dengan mempopularkan wacana IR dan memupuk minat orang ramai terhadap bidang ini.
Q: Apakah pandangan saudara tentang puak IS (Islamic State) dan cerita-cerita kebangkitan Islam di rantau ini?
Islamic State adalah sebuah gerakan politik, tiada kaitan dengan kebangkitan agama.
Q: Adakah saudara seorang berpandangan konservatif? Jika ya, mengapa saudara memilih untuk berpandangan sedemikian?
“Konservatisme” yang saya maksudkan merujuk kepada falsafah politik yang dibawa oleh Edmund Burke, seorang ahli politik British di akhir abad ke-18.
Burke menyaksikan kejadian Revolusi Perancis (1789-1799) serta kerosakannya terhadap masyarakat dan tamadun Perancis. Maka Burke membuat kesimpulan bahawa kerosakan tersebut berpunca daripada idealisme dan radikalisme dalam berpolitik.
Seseorang yang berfahaman konservatif menolak perubahan sosial secara mendadak atau “radical change”. Berdasarkan pemahaman terhadap sejarah, para konservatif seperti saya tidak sesekali percaya dengan gerakan “revolusi” yang idealistik kerana ia bakal berakhir dengan tragedi.
Menjadi konservatif bermaksud bersederhana dalam berpolitik, tidak menolak tradisi yang mengandungi “wisdom of the past” dan mampu memilih mudarat yang lebih ringan. Dan saya rasa pendekatan sebegini lebih sesuai dengan pegangan agama kita.
Melalui pembacaan Dunia Tanpa Tembok, kami merasakan terdapat persaingan yang tegang antara China dan US dalam mempertahankan kepentingan di Malaysia khususnya. Apakah ini boleh mengubah situasi politik di Malaysia pada masa akan datang?
Sepatutnya “equation”-nya adalah— situasi politik di Malaysia akan mengubah imbangan kuasa antara China dan US.
Q: Kami mendapat maklum saudara telah menyiapkan thesis peringkat Sarjana, boleh saudara kongsikan serba sedikit kajian saudara?
Kajian sarjana saya adalah mengenai tujuan sebenar China memperkenalkan dasar “One Belt One Road” (OBOR). Hujah saya ialah: OBOR adalah satu strategi geopolitik China, bukan sekadar ekonomi.
Dalilnya—Wacana rasmi dan akademik China yang menyebut tentang OBOR banyak disertai dengan istilah “Heartland” dan “Rimland” yang merupakan istilah geopolitik. “Heartland” merujuk kepada kawasan Asia Tengah manakala “Rimland” merujuk kepada kawasan pinggiran Lautan Hindi. Dalam tradisi geopolitik, sesiapa yang menguasai Heartland dan Rimland akan mampu menguasai benua Eropah-Asia atau “Eurasia”.
Dalam OBOR ada dua komponen, satu ialah “Silk Road Economic Belt” yang menghubungkan China dengan Asia Tengah. Satu lagi ialah “Maritime Silk Road” yang menghubungkan China dengan Lautan Hindi. Daripada situ kita boleh nampak motif geopolitik China.
Q: Adakah strategi China ini adalah bentuk penjajahan baru atau lebih kepada dasar ‘Prosper thy neighbour policy’ - “dasar sejahterakan jiran anda”
China tidak perlu jajahan untuk mempertahankan kepentingan terasnya (core interests) iaitu keselamatan negara.
Q: Pesanan untuk anak muda yang ingin melanjutkan pelajaran atau menceburi bidang geopolitik dan hubungan antarabangsa?
Pesanan saya, bersedialah menerima kritikan dan teguran kerana perspektif kita tidak semestinya benar dan tidak semestinya popular. Jangan berhenti belajar dan merasa angkuh dengan ilmu yang dimiliki. Itu adalah sikap yang perlu ada pada mana-mana penuntut ilmu.
Q: Saudara Ayman boleh dihubungi di;
Facebook: facebook.com/ayman.rashdan.wong